Thursday 12 September 2013

Tuntutan Kalimah Lari Tajuk

Hujah Kalimah Allah 'Tersasar Dari Tajuk' - Zulkifli Noordin


 alt
PUTRAJAYA 11 Sept - Peguam perayu dan responden dalam kes kalimah Allah telah memberikan hujah mereka walaupun ada sesetengah daripadanya dilihat 'tidak menepati tajuk'.
Peguam Perayu mewakili kerajaan dan majlis Agama, Datuk Zulkifli Noordin memberitahu mahkamah bagaimanapun telah membenarkan untuk mendengar hujah-hujah yang dikemukakan.
"Kedua-dua pihak telah memberikan hujah mereka walaupun ada sesetengah hujah yang dikemukakan terkeluar daripada konteks malah ia dibenarkan (diperdengarkan) di mahkamah. 
Jadi diharap mahkamah dapat bersikap adil kepada semua pihak," katanya ketika ditemui pemberita selepas selesai menghadiri pendengaran hujah membabitkan isu kalimah Allah di Kompleks Istana Kehakiman Putrajaya semalam. 
Semalam , Mahkamah Rayuan di sini menangguhkan kes rayuan berkenaan pada satu tarikh yang akan ditetapkan kelak. 
Prosiding mahkamah diketuai Hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali bersama Datuk Abdul Aziz Rahim dan Datuk Mohamed Zawawi Salleh.
alt
Dalam pada itu salah seorang peguam, Perayu Mohamed Haniff Khatri Abdulla pula berkata, mahkamah perlu menilai beberapa aspek penting sebelum dapat membuat keputusan selain meminta orang ramai terutamanya umat Islam supaya bersabar. 
"Ada benda yang perlu dirujuk kepada undang-undang, dari segi cetakan dan kepakaran maka mahkamah bertanggungjawab untuk menilai semua ini dengan adil," katanya.
alt
Sementara itu Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali dalam ucapannya dihadapan hadirin yang hadir berhimpun menjelaskan isu membabitkan kalimah Allah ini dijadikan agenda politik dan ia perlu dipertahankan umat Islam.
"Ini merupakan agenda politik dan ia dijadikan isu politik. Isu ini tidak patut berbangkit. Kini ia menjadi masalah dan kita perlu mempertahankannya," tegas beliau.
Kes ini diteruskan berikutan keputusan Mahkamah menolak permohonan Titular Roman Catholic Archbishop of Kuala Lumpur, Tan Sri Murphy Pakiam bagi membatalkan rayuan Kementerian Dalam Negeri berhubung keputusan Mahkamah Tinggi dalam penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam.
Murphy antara lain menuntut satu deklarasi dengan menyatakan keputusan Kementerian Menteri Dalam Negeri pada 7 Januari 2009 berhubung larangan penggunaan kalimah Allah dalam The Herald adalah tidak sah kerana ianya eksklusif kepada agama Islam.

source: LINK

No comments:

Post a Comment